Sejarah Sekolah


Sejarah Perkembangan SMK Convent Jalan Peel


Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Jalan Peel bermula sebagai cawangan Sekolah Convent Bukit Nanas Kuala Lumpur pada Januari 1949 dengan enam buah kelas, darjah satu dan dua. Setiap kelas mempunyai empat puluh orang murid dan ditempatkan di dewan sekolah. Sekolah ini diberi taraf sekolah Bantuan Kerajaan (Grant-In-Aid) di bawah naungan Congregation Infant Jesus.

Pada Januari 1951, bangunan yang terdiri daripada 16 buah kelas, sebuah pejabat dan sebuah bilik guru siap dibina. Pada tahun yang sama, Sekolah Menengah Convent Jalan Peel bermula dengan tiga buah kelas tingkatan satu. Sebuah bangunan tambahan dibina dan dilengkapkan dengan sebuah bengkel Sains Rumah Tangga dan beberapa buah kelas. Pada tahun 1955, 3 buah kelas tingkatan lima yang pertama telah menduduki peperiksaan Sijil Seberang Laut (OSC). Pada tahun 1958, 6 buah kelas Sekolah Rendah dipindahkan ke Sekolah La Salle di Jalan Shahbandar Kuala Lumpur kerana kekurangan bilik. Pada tahun 1961, 6 kelas lagi dipindahkan ke Sekolah Dato’ Abu Bakar Off Jalan Pasar Kuala Lumpur. Pada tahun yang sama, dewan baru sekolah siap dibina. Pada tahun 1963, dua pertiga daripada murid sekolah rendah dipindahkan ke Sekolah Inggeris Perempuan Kampung Pandan Kuala Lumpur. Sebuah makmal Sains dan enam buah kelas ditambah.

Pada tahun 1976, sesi bermula dengan lima buah kelas tingkatan satu. Kantin baru sekolah dibina pada tahun 1979 atas sumbangan PIBG. Pada tahun 1980, tingkatan lima yang pertama menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pada tahun 1981, sesi petang mempunyai 14 buah kelas manakala sesi pagi mempunyai sembilan belas kelas dengan 1378 orang murid. Jumlah murid telah bertambah kepada 1460 orang pada tahun 1984. Pada tahun 1988, 10 buah tandas baru dibina atas usaha dan kerjasama PIBG dan DBKL menjadikan jumlah tandas adalah 32 buah. Pada Januari 1999 Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Jalan Peel mempunyai 37 buah kelas iaitu 16 buah kelas sesi petang dan 21 buah kelas sesi pagi dengan 1420 orang murid. Empat buah kelas sesi pagi adalah kelas terapung kerana kekurangan bilik darjah.

Pada tahun 2006, sekolah ini telah berjaya memperoleh status Sekolah Bantuan Penuh Kerajaan. Pada 26 Julai 2012, SMK Convent telah berpindah ke tapak bangunan baharu yang dahulunya merupakan padang sekolah. Majlis penyerahan kunci juga telah diadakan pada 12 Julai 2012 yang disempurnakan oleh wakil daripada Kementerian Pelajaran Malaysia. Bangunan yang didirikan menggunakan konsep sekolah dalam bandar (City School). Terdapat tiga blok bangunan (1 blok 8 tingkat dan 2 blok 6 tingkat) yang bersambung di kiri dan kanannya. Reka bentuk bangunan ini sesuai kerana kekangan ruang sedia ada. Bangunan baharu ini mempunyai 36 buah bilik darjah dan dilengkapi dengan bilik-bilik khas seperti Pusat Sumber sekolah (2 tingkat), Makmal Sains, Bilik Darjah, Bengkel KH, Bilik PJK, Bilik Kokurikulum, Bilik Muzik, Koperasi, Bilik Pengawas, Bilik Redaksi, Dewan Serbaguna, Galeri Sekolah, Bilik Persalinan, Makmal Bahasa, Bilik SAL, Bilik Geografi & Sejarah, Makmal Komputer, Bilik ICT, Bilik Keselamatan, Bilik Kesihatan, Bilik Peperiksaan, Bilik Mesyuarat, Bilik Pengetua, Bilik Penolong-Penolong Kanan, Bilik Guru, Pejabat Sekolah, Bilik Guru Kanan Mata Pelajaran, Bilik Kaunselor, Kantin, Surau dan Kamar Selesa. Bagi mengingati saat meninggalkan bangunan lama sekolah maka satu majlis telah diadakan pada 26.07.2012.

Mulai September 2015 sekolah telah dipilih sebagai sekolah rintis untuk Program Sekolah Transformasi (PST) peringkat KPM. Bermula dari tahun 2017, Program Sekolah Transformasi telah ditukar kepada TS25 yang bermaksud Transformasi Sekolah 2025. Sekolah juga telah mendapat pengiktirafan Sijil kategori cemerlang bagi audit Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) daripada MAMPU pada 1 Jun 2016. Sekolah ini juga telah menjuarai Anugerah 3K3C Peringkat Kebangsaan pada 19 November 2016. Pembinaaan Skylite dan naik taraf Dataran Puteri bermula pada 26 November 2016 dan siap sepenuhnya pada bulan Februari 2017. Majlis perasmian Skylite Dataran Puteri telah disempurnakan oleh Datuk Seri Syed Ali Al Habshee pada 21 Julai 2017 semasa program Penyarang Raya(RIMUP) 2017.

Tahun Penubuhan

1949

SPM Pertama Kali

1980

Bangunan Baru

2012